“Wahai
saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia
pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan
dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang
pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah
pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang
lalu-lalang.
Orang
yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana
kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.
Pada
setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang
daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya
jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga,
Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus
mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya
dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa-apa.
Pengemis
buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu
begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan
menyuapkan makanan ke mulutnya.
Perbuatan
baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak
kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke
mulut pengemis itu setiap pagi.
Pada
satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah
yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu
kepadanya.
“Wahai
anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak
lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah
Aisyah.
“Ayahandaku,
boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah
lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan
hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
“Setiap
pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi
di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang
menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada
ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.
“Kalau
begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap
pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk
pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.
Pada
keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama
seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini.
Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta
itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan
makanan ke mulut pengemis itu.
“Hei…
Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik
Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan
Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.
“Akulah
orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra
sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.
“Bukan!
Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu
terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih
dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke
mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,”
balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra
yang masih memegang makanan itu.
“Ya,
aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku
adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu
Bakar ra sambil mengesat air matanya yang sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.
“Dia
ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab
itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar ra
dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.
“Mengapa
kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar
ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah
agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah
dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya
seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama
ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak
pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan
sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat
memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis
teresak-esak.
“Dia
memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia
semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,”
beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau
begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah
syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.
Selepas
peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu
Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu
untuk mengakui ke-Esaan Allah..

No comments:
Post a Comment